Selepas disaman, Tun Faisal mohon maaf tuduh Aliff Ahmad scammer
Seorang pemimpin Bersatu tampil membuat permohonan maaf selepas disaman seorang pengguna Facebook yang juga aktivis, Aliff Ahmad kerana menuduhnya seorang scammer.
Di Facebook, Aliff Ahmad berkata, dia dituduh scammer oleh Tun Faisal Ismail gara-gara memuat naik surat terbuka mengkritik Tan Sri Annuar Musa pada 2021.
Annuar Musa merupakan bekas bos kepada Tun Faisal. Dia pernah menjadi setiausaha akhbar kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.
Aliff Ahmad telah memfailkan saman terhadap pemimpin Bersatu berkenaan selepas meninggalkan komen menuduhnya scammer.
Bagaimanapun, Tun Faisal akur dan memohon maaf supaya saman tidak diteruskan.
“Jadi, aku telah menyamannya untuk melihat bagaimana dia nak buktikan aku ini seorang scammer.
“Setelah bermediasi, Tun Faisal akur untuk memohon maaf dan tidak mahu saman ini diteruskan.
“Aku percaya, jika diteruskan dia takkan mampu nak buktikan aku ini seorang scammer dan dengan pendirian dia yang nak meminta maaf, perbicaraan pasti tidak akan menarik lagi,” katanya.
Dalam hantaran sama, Aliff menyertakan surat permohonan maaf dari Tun Faisal.
Pemimpin Bersatu itu mendakwa komennya tentang scammer tidak berniat ditujukan kepada Aliff.
“Komen tersebut sama sekali tidak diniatkan untuk merujuk kepada saudara Aliff Ahmad atau memberi maksud bahawa saudara Aliff Ahmad adalah seorang ‘scammer’.
“Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf sekiranya komen-komen saya tersebut telah mengundang salah faham dan maksud berbeza kepada pembaca-pembaca di ruang Facebook tersebut. Sejujurnya, saya tidak berniat sedemikian.
“Permohonan maaf ini saya sampaikan secara ikhlas bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul dari kenyataan-kenyataan dan komen-komen yang berkaitan dengan perkara tersebut.
“Dengan permohonan maaf ini, saya kira segala khilaf ini dapat diselesaikan secara damai tanpa meneruskan proses keadilan di dalam mahkamah,” kata surat permohonan maaf yang disiarkan di Facebook Aliff Ahmad II
Aliff banyak menjalankan ‘scrut’ atau penyiasatan terhadap latar belakang pemimpin politik.
Dia juga mengupas isu-isu semasa dalam negara.
BACA JUGA Teruknya rayu Abuya ampunkan bukannya Allah, lagu syirik GISBH terbongkar