Kepentingan PRK Mahkota kepada PH-BN
OLEH: SHEIKH UMAR BAGHRAIB
Pilihan raya ini akan sekali lagi MENGUJI KERUKUNAN parti-parti PH-BN sebagai sebuah gabungan yang kuat dalam membentuk kerajaan Perpaduan. Ia bakal memberi gambaran keutuhan kita dalam memastikan agenda membangunkan negara dipacu atas kestabilan politik yang kukuh.
Ia juga menjadi tanda PENGGEMBELENGAN RAKYAT PELBAGAI BANGSA berpaksikan fokus bersama untuk menjayakan agenda pemulihan ekonomi sepertimana diiltizamkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta kabinetnya.
Selain itu, Mahkota merupakan kerusi ideal untuk mengetengahkan POLITIK MODERAT, sederhana dan tidak ekstrim sesuai dengan gagasan Malaysia Madani. Ia merupakan kontras kepada politik kebencian dan memanipulasi sempit sentimen ras dan agama yang sering sekali menjadi modal Perikatan Nasional.
PRK DUN Mahkota juga menjadi medan MEMPERKUKUH JENTERA PARTI PH-BN di segenap lapisan. Dari peringkat pimpinan tertinggi, sehingga ke akar umbi. Kebersamaan jentera PH-BN akan mempamerkan kesediaan kita menghadapi pilihan raya akan datang khususnya PRU ke 16 nanti.
Saya percaya PH-BN akan bergerak seiringan bagi MEMENANGKAN Calon Perpaduan dalam PRK DUN Mahkota.
Ia penting bukan sahaja untuk menuai kejayaan pada 28 September 2024 di hari pembuangan undi, akan tetapi untuk kemenangan PH-BN menjelang PRU akan datang.
Kita memerlukan SEMANGAT PERPADUAN jangka panjang bagi memastikan Malaysia terus berada pada landasan yang betul.
Formula PERPADUAN JANGKA PANJANG inilah yang akan mengangkat semula MALAYSIA dan rakyatnya melonjak lebih tinggi di mata dunia baik dari aspek politik, ekonomi serta kerukunan bangsa.
Oleh Sheikh Umar Baghraib, naib pengerusi DAP Johor.