Kontroversi status halal: Terjemahan ChatGPT dalangnya, kata Kok
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim menjelaskan bahawa kontroversi yang dihadapi beliau dalam isu halal berakar umbi dari terjemahan kenyataan Bahasa Mandarin ke Bahasa Melayu yang menggunakan ChatGPT.
“Kenyataan asal saya sebenarnya dalam bahasa Mandarin dan saya mengarahkan pekerja saya yang berbangsa Melayu yang fasih bertutur dan menulis dalam Mandarin untuk menterjemahkan ke bahasa Melayu.
“Namun, disebabkan pekerja saya tergesa-gesa ke luar negeri menjalankan tugas, maka, kenyataan ini diterjemah menggunakan varian model bahasa ChatGPT kerana lebih cepat. Namun, ada perkataan tertentu yang diterjemah ‘lari’ daripada maksud asal dan pihak kami pula kurang teliti dengan perkataan yang digunakan.
“Masalahnya apabila ada portal berita menulis tajuk berita yang mengejutkan dan kurang manis. Sedangkan, maksud saya dalam kenyataan adalah kerajaan mengkaji semula tentang isu pensijilan halal.”
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia.
Beliau mengakui bahawa semakan tidak dibuat secara terperinci sebelum diedarkan kepada media.
Kok turut membincangkan perkataan yang mengundang kontroversi kepadanya.
“Dalam kenyataan, maksud saya jika kerajaan menguatkuasakan pensijilan halal kepada pengusaha restoran, ia bukan sahaja mencetus reaksi negatif dalam negara, malah mungkin menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa. Bukannya “memalukan” negara. Jadi, perkataan “memalukan” ini yang diterjemah oleh ChatGPT.
“Malangnya, kenyataan terjemahan ChatGPT sudah diterbitkan dan dipetik oleh media massa termasuk portal berita tersebut yang sebenarnya adalah terjemahan secara literal.
“Anda sendiri pun tahulah yang media suka mensensasikan laporan menggunakan tajuk yang diibaratkan pembaca pun boleh ‘sakit jantung’ selepas membacanya.
“Sekarang, kita berada dalam dunia yang mana pembaca hanya suka membaca tajuk, tetapi tidak kepada isu kandungan beritanya.
“Jadi, apabila laporan berita ditulis seperti itu, ia kurang manis lah.”