MAIS: JAIS, siasat semua sekolah, rumah kebajikan GISBH

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarahkan menjalankan siasatan segera ke atas kesemua rumah kebajikan dan sekolah Islam yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan rangkaiannya, kata pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Siasatan tersebut adalah untuk memastikan tiada amalannya bertentangan dengan ajaran Islam yang benar.

“Sekiranya rumah kebajikan dan sekolah Islam didapati terlibat dalam ajaran yang menyeleweng daripada Islam, penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 akan dilaksanakan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengesyorkan pembatalan pendaftaran sekolah di bawah Enakmen Peraturan Sekolah Agama Islam 1988 dibatalkan.

Untuk rekod, GISBH yang dikaitkan dengan ajaran Al-Arqam telah diharamkan di Selangor menerusi tiga fatwa yang dikeluarkan pada 4 Feb 1993, 11 Ogos 1994 dan 2 Disember 2006.