‘Jangan taasub pada abuya’

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya rakyat Pahang tidak bersikap taasub pada mana-mana pemimpin, guru ataupun abuya.

Sultan Pahang bertitah agar rakyat menjadi mata dan telinga pemerintah dengan melaporkan sebarang penyebaran ajaran sesat serta berpegang teguh kepada ASWJ, al-Quran dan al-Sunah.

“Janganlah kita mendewa-dewakan, mentaasub pada mana-mana pemimpin ataupun guru-guru ataupun abuya.

“Hentikan semua ini. Saya tunggu laporan polis (mengenai) keadaan (ajaran sesat di Pahang),” titah baginda semasa Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1446 Hijrah/2024 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Al-Sultan Abdullah menyampaikan beberapa anugerah antaranya kepada Allahyarham Datuk Abdul Razak Abu yang dinobat sebagai Tokoh Maulidur Rasul Negeri Pahang, Datuk Ahmad Faizul Ghazali Al-Hafiz (Anugerah Ummah) dan Abu Bakar Mat Saad (Anugerah Pendidikan).

Al-Sultan Abdullah bertitah Pahang pernah mempunyai ajaran sesat ataupun menyeleweng daripada daripada agama Islam yang sebenar serta tidak mengikuti landasan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ).

“Alhamdulillah, hari ini ada enam sahaja masih aktif. Yang sedihnya itu, ada dua di Pekan, tempat saya lahir,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda meminta pihak polis dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menyiasat ajaran yang didakwa sesat serta terpesong serta berharap ia dapat diselesaikan tanpa menganiayai atau mengaib sesiapa.

“Nabi Muhammad SAW telah diutuskan dengan membawa ajaran Islam yang sebenar. Namun, dunia akhir zaman ini, fitnah dan kesesatan bermaharajalela.

“Sesungguhnya, umat Islam dihadapkan dengan pelbagai ujian yang menguji keimanan termasuk golongan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Dalam menghadapi fitnah akhir zaman ini, kita perlu memperkuatkan iman dan takwa kepada Allah SWT,” titah baginda lagi.

BACA JUGA Memahami kandungan draf MoU peruntukan yang ditolak pembangkang