Kontroversi GISBH: MAIWP kerjasama dengan JAWI
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung sebarang tindakan penguatkuasaan yang boleh dikenakan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Menurut Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, pihaknya mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) [Akta 505].
“Bidang kuasa itu adalah untuk membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan semua perkara berhubungan agama Islam di Wilayah Persekutuan kecuali perkara menyentuh hukum syarak dan pentadbiran kehakiman syariah.
“Aktiviti dijalankan GISBH jika dikaitkan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan Al-Arqam yang pernah difatwakan sebagai amalan bercanggah akidah Islam melalui penyiaran fatwa dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Mei 2007.
“Dalam hal ini, MAIWP bekerjasama dengan JAWI mengenai tindakan penguatkuasaan sesuai boleh dikenakan terhadap GISBH selaras peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] atau perundangan lain,” jelasnya.
Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata pihak MAIWP sentiasa komited untuk bertindak dan sedia membantu agensi kerajaan persekutuan dan negeri dalam menangani isu membabitkan GISBH.
Syarikat perniagaan yang dikenali dengan imej bersongkok tinggi itu menggemparkan negara apabila dikaitkan dengan dakwaan kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak.
Dalam masa sama, tersebar sejumlah lagu yang berbahaya kepada akidah umat Islam termasuk merayu-rayu agar ‘Abuya’ mengampunkan dan menyelamatkan mereka.
BACA JUGA Memahami kandungan draf MoU peruntukan yang ditolak pembangkang