Memahami kandungan draf MoU peruntukan yang ditolak pembangkang
Oleh AHMAD MURSI
Oleh sebab Perikatan Nasional (PN) sengaja meniup api perkauman dan agama untuk menjustifikasi tindakan mereka menolak MoU ini malah berterusan mendedahkan kepada media butiran rundingan, maka kerajaan telah menerbitkan draf MoU.
Berikut obligasi PN dan Kerajaan yang digariskan sebagai pemula rundingan untuk anda nilaikan dan bandingkan dengan fitnah yang dicetuskan pembangkang:
𝟮) 𝗢𝗕𝗟𝗜𝗚𝗔𝗦𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗞𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗡𝗔𝗦𝗜𝗢𝗡𝗔𝗟
2.1 PN mengakui peranan dan fungsinya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang merupakan satu komponen yang penting dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. PN akujanji dan mengakui bahawa Ahli-Ahli Parlimen di bawah PN akan berkelakuan seperti berikut:
𝗠𝗲𝗻𝗮𝗺𝗯𝗮𝗵𝗯𝗮𝗶𝗸 𝗞𝗲𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗣𝗮𝗿𝗹𝗶𝗺𝗲𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗻𝗴 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗕𝗲𝗿𝘄𝗶𝗯𝗮𝘄𝗮:
a) Sebagai parti Pembangkang di Dewan Rakyat, PN perlu memastikan Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap Parlimen mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, dan Peraturan Mesyuarat Parlimen serta konvensyen Parlimen.
b) PN perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan ketelusan sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan awam, serta kelancaran dalam pentadbiran awam, sekaligus mengelakkan sebarang salahguna kuasa dan ketidaktelusan.
c) PN perlu menyediakan satu alternatif politik atau cadangan balas yang kredibel serta menyediakan pilihan dasar alternatif berbanding dengan cadangan dasar yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan majoriti Ahli Dewan Rakyat. PN dan Ahli-ahli Parlimennya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang tidak boleh membuat sebarang bangkangan atau halangan yang sia-sia atau mengganggu proses pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau Dewan Rakyat, sebaliknya bersama-sama berusaha untuk menambahbaik sebarang cadangan dasar demi kepentingan umum Negara.
d) PN serta Ahli-ahli Parlimennya perlu menahan diri daripada menyemai kebencian, diskriminasi, atau keganasan sebagai suatu bentuk ekspresi politik atau perbezaan pendapat, tetapi harus bertindak dalam semangat toleransi serta tindakan bersama demi kepentingan Negara.
e) PN dan Ahli-ahli Parlimennya akujanji untuk mengemukakan Pengisytiharan Harta mengikut format yang dilampirkan dalam Jadual A dalam tempoh Empat Belas (14) hari dari tarikh Memorandum ini.
f) PN mengakui bahawa seorang Ahli Parlimen adalah satu jawatan awam bagi menjalankan amanah rakyat dan disebabkan itu, Ahli Parlimen Pembangkang tersebut perlu berkelakuan mengikut Tujuh (7) Prinsip Kehidupan Awam yang dilampirkan dalam Jadual B Memorandum ini.
𝗧𝘂𝘁𝘂𝗿𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗯𝗲𝗻𝗰𝗶𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗛𝗮𝘀𝘂𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗯𝗲𝗻𝗰𝗶𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗻𝗴𝗲𝗻𝗮𝗶 𝗜𝘀𝘂 𝗕𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮, 𝗔𝗴𝗮𝗺𝗮, 𝗱𝗮𝗻 𝗥𝗮𝗷𝗮-𝗥𝗮𝗷𝗮:
g) PN mengakui dan mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua manusia dan kesemua rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk mempromosikan dan menggalakkan penghormatan dan pematuhan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, budaya, dan agama.
h) PN selanjutnya mengakui dan mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, bermaruah, dan mempunyai hak asasi dan kebebasan tanpa sebarang perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, etnik, atau agama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan yang saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan terhadap sebarang bentuk diskriminasi.
i) PN juga mengakui dan bimbang dengan ucapan-ucapan berbentuk kebencian, diskriminasi kaum, agama, dan sebarang bentuk hasutan terhadap Institusi Diraja, termasuk Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong, serta Raja-Raja Melayu. PN juga mengutuk segala propaganda, maklumat palsu, atau sebarang idea yang bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum, agama, dan/atau budaya serta melakukan sebarang diskriminasi dalam apa-apa bentuk, atau menimbulkan sebarang kebencian terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu, atau sebarang bentuk penderhakaan terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu.
j) PN juga mengakui dan menyatakan komitmen bahawa setiap ahli Parlimennya akan menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan dan/atau ucapan dan/atau perbuatan sama ada secara lisan atau bukan lisan, yang bersifat kebencian, atau menggunakan sebarang bentuk bahasa yang merendahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pihak atau kumpulan sama ada atas dasar agama, kaum, etnik, warna kulit, asal-usul, jantina, kewarganegaraan, atau apa-apa faktor identiti yang lain, atau sebarang bentuk komunikasi yang mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan sebarang diskriminasi, kebencian, atau keganasan terhadap mana-mana pihak, atau melakukan sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan, atau kecenderungan untuk menghina dan menderhaka terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu.
𝟯) 𝗢𝗕𝗟𝗜𝗚𝗔𝗦𝗜 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗦𝗘𝗞𝗨𝗧𝗨𝗔𝗡
3.1 Kerajaan Persekutuan mengakui bahawa Ahli Parlimen Pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai Pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada Negara, Perlembagaan Persekutuan, dan Institusi Diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab serta memastikan akauntabiliti dan ketelusan Kerajaan Persekutuan di dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Tertakluk kepada penyerahan Pengisytiharan Harta serta selepas menandatangani Tujuh Prinsip Kehidupan Awam (“Seven Principles of Public Life”) seperti di Lampiran A, setiap Ahli Parlimen PN, atas dasar prinsip kesaksamaan, akan diberi layanan yang sama seperti Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Persekutuan berkenaan dengan perkara-perkara berikut:
a) Memelihara dan melindungi hak dan keistimewaan Ahli Parlimen Pembangkang tersebut untuk menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat seperti tempoh masa berucap, akses kepada jawatankuasa pilihan Parlimen, hak untuk meminda, hak untuk membentangkan rang undang-undang dan usul;
b) Diberikan akses kepada sumber rujukan, sumber pentadbiran, dan sumber kewangan, seperti ruang pejabat, pembantu parlimen, dan elaun;
c) Diberikan peruntukan Dana Pembangunan Kawasan Parlimen (“Constituency Development Fund”) mengikut peraturan, tatacara dan tatakelola penggunaan dana tersebut. Jumlah peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Pembangkang tersebut adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual C.
BACA JUGA Ini sebabnya Fadillah dedah draf MoU peruntukan MP pembangkang