Pelantikan Fuziah progresif untuk kepimpinan wanita

Ketua Wanita Pakatan Harapan Datuk Aiman Athirah Sabu mengalu-alukan pelantikan Senator Fuziah Salleh sebagai Setiausaha Agung PKR yang disifatkan sebagai kepimpinan wanita yang progresif.

“Tentunya ia satu lagi langkah yang tepat dan ditunggu-tunggu, khususnya dalam memberi peranan dan kepercayaan kepada kepimpinan wanita pada peringkat yang lebih holistik, inklusif dan progresif,” kata beliau menerusi laman Facebook.

Ini kerana pelantikan tersebut meletakkan wanita di persada politik negara.

“Saya memberi keyakinan bahawa penyusunan baharu ini bukan sahaja akan memperkasakan PKR, tetapi pada masa yang sama akan turut memperkukuhkan lagi kerjasama dan keberkesanan gerak kerja Pakatan Harapan secara keseluruhannya bersama dengan pasukan kepimpinan Pakatan Harapan sedia ada.

“Saya berdoa agar YB Senator Hajah Fuziah Salleh dapat menjalankan amanah ini dengan jaya dan berkesan sepertimana selalunya. Setiap kali wanita diberikan tugas dan posisi seperti ini, ia lazimnya akan menuntut usaha dan tindakan yang lebih berbanding penjawat sebelumnya, dan saya yakin beliau jauh daripada mampu, insha Allah.”

Semalam MPP PKR memutuskan penstrukturan dalaman untuk memperkukuhkan parti.

Selaras dengan itu, Fuziah menggantikan Saifuddin sebagai setiausaha agung parti.