Agong ke China buka lembaran baharu hubungan diplomatik Malaysia-China
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bakal mengadakan lawatan ke China sebagai satu lembaran baharu persahabatan erat antara Malaysia dan negara tembok besar itu.
Lawatan itu yang bermula 19 September hingga 22 September akan mencatatkan sejarah penting dalam perhubungan diplomatik Malaysia-China yang memasuki 50 tahun.
Baginda bertitah, lawatan itu diharap akan menjadi asas kepada pengukuhan persahabatan dua negara ke dekad seterusnya.
“Saya yakin terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai bersama dengan kepakaran yang ada antaranya dalam sektor ekonomi digital, pembangunan hijau serta dan perindustrian,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.
Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Li Qiang, diikuti pertemuan dengan Presiden Xi Jinping.
Sultan Ibrahim juga akan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknikal Kapal Terbang Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.
Sultan Ibrahim akan bertemu dengan diaspora Malaysia di China, dan turut memperkenankan penamaan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena nama Baginda.