AMANAH gesa semua negeri kuat kuasa fatwa haram Al-Arqam ke atas GISBH

Pihak berkuasa agama di setiap negeri digesa untuk menguatkuasakan fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1994 pada setiap ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).

Gesaan Parti Amanah Negara (AMANAH) itu susulan dakwaan GISBH masih meneruskan ajaran pertubuhan itu yang telah diharamkan dan difatwakan sesat.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sudah tiba masanya semua pihak bergabung tenaga bagi memelihara keselamatan akidah dan keselamatan orang awam yang dilakukan oleh ajaran sesat Islam bertopengkan simbol agama.

“Isu GISBH ini sudah dimaklumkan kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam seawal tahun 2018 yang mana Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) melaporkan bahawa ia adalah jelmaan baharu dari Rufaqa’ dan sebelumnya Al Arqam.

“JAKIM turut melaporkan ketika itu GISBH masih lagi mengamalkan ajaran al Arqam yang diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994.

“Sejak 1994 hingga kini GISBH masih kekal mengamalkan kesesatan amalan al Arqam dan ini sangat bahaya kepada keselamatan aqidah umat Islam yang boleh membawa kepada kesyirikan dan kekufuran.

“Oleh itu, AMANAH menggesa pihak berwajib agama di setiap negeri fatwa tahun 1994 pada setiap ahli GISBH supaya mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, AMANAH memandang serius isu GISBH dan dakwaan terhadapnya yang kini berada dalam siasatan polis.

Beliau berkata, dakwaan eksploitasi kanak-kanak termasuk perlakuan seksual seperti liwat dan meliwat adalah sesuatu yang perlu dikutuk sekerasnya oleh semua masyarakat.

“AMANAH turut menuntut penjenayah terbabit dibawa ke muka pengadilan dalam kadar segera serta menghukum mereka mengikut lunas perundangan negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, AMANAH turut mengutuk pihak yang memperalat simbol dan ajaran agama Islam untuk tujuan keji bagi mewajarkan tindakan mereka.

“Ini termasuk tuduhan ke atas GISBH yang menjaja atas nama sekolah tahfiz dan membela anak yatim dengan mengeksplotasi kanak-kanak mengutip derma di khalayak ramai.

“Perbuatan mengeksploitasi atas nama agama dan menggunakan kanak-kanak ini untuk mengutip derma harus dihentikan segera termasuk ke atas pihak lain,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Tular bekas calon PN disokong lebih 17,000 pengundi goyang pinggul