Cacian, kebencian, angan-angan hidangan Hadi di Muktamar Pas ke-70
Cacian, kebencian, dan angan-angan dihidangkan pemimpin Pas dalam ucapan serta resolusi sepanjang lima hari berlangsungnya Muktamar Pas ke-70 yang melabuhkan tirai pada Ahad lalu, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga menteri dalam negeri turut menyifatkan muktamar itu sebagai rakaman sejarah yang menjadi medan kemuncak politik kebencian serta membiakkan budaya fitnah, mencerca, dan memaki hamun di bawah pimpinan Presiden Abdul Hadi Awang.
“Umat Islam di Malaysia menghadapi pelbagai masalah seperti penagihan dadah, keganasan domestik, rasuah serta kemiskinan, namun Pas dan Abdul Hadi ketandusan idea dalam isu mendesak ini.
“Sebaliknya, mereka lebih fokus berangan-angan ingin merampas kuasa kerajaan perpaduan dan mengabaikan agenda hudud yang dilaung sebagai prinsip Pas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah bahawa Pas telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal di Bawah kepimpinan Hadi.
“Abdul Hadi hanya dikenang kerana kepimpinan yang tidak kompeten dan lemah,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin Pas sering mendakwa diri sebagai ulama yang mengemudi kerajaan hidayah, namun semasa Pas dalam kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022, tiada usaha yang diambil untuk mengharamkan arak dan perjudian di negara ini.
“Selama 30 bulan lebih Pas menyertai kerajaan ketika itu, ini membuktikan Pas sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara.
“Kegagalan ini jelas apabila rakyat terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri (ketika pandemik Covid-19),” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi kata dua bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus berusaha meningkatkan ekonomi negara.