Bila masa ada tahlil khas dengan PN? Anak bekas ADUN Mahkota tegur Annuar Musa

Anak kepada bekas ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain tidak tahu menahu berkenaan majlis tahlil khas yang didakwa akan diadakan oleh Perikatan Nasional (PN) bersama keluarga Allahyarham.

Anak sulung Allahyarham, Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya PN, Tan Sri Annuar Musa yang kononnya satu majlis tahlil akan diadakan dengan kerjasama keluarga Allahyarham.

Mohd Hibatullah menafikan perkara itu malah menegaskan, agar pihak Annuar tidak menggunakan simpati arwah ibunya sebagai bahan kempen.

“Bila ni? saya sebagai anak sulung Datuk Sharifah Azizah Syed Zain tak tahu pun. 

“Saya mohon jasa baik tidak gunakan simpati arwah mak saya sebagai bahan kempen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anak Allahyarham menegaskan mereka sekeluarga tetap bersama Barisan Nasional dan menghormati pimpinan Menteri Besar Johor. 

“Saya akan meneruskan perjuangan Ummie bersama UMNO dan Barisan Nasional.

“Sedih lah mcm ni. Tolong lah jaga sensitiviti kami sekeluarga,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Annuar menerusi laman sosial Facebook mendakwa akan mengadakan majlis khas untuk Allahyarham Sharifah Azizah dan majlis maulidurasul pada 24 September ini dengan kerjasama keluarga arwah.

Kata pemimpin Pas itu, ia merupakan antara program yang disusun PN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.

BACA JUGA Panas hati tengok gaya ‘gangster’ ahli GISBH masuk mahkamah