Ekonomi berkembang kerana pelabur semakin percayakan Malaysia, kata Gabenor BNM
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour percaya, peluang ekonomi negara untuk berkembang dalam jangka masa yang panjang adalah cerah kerana keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Beliau berkata, pelaburan yang diluluskan berjumlah hampir RM84 bilion untuk suku pertama tahun 2024 mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap negara ini yang semakin kukuh.
“Apa yang penting ialah prospek jangka panjang kita adalah cerah kerana pelaburan meningkat semula dengan kukuh dalam apa yang digambarkan sebagai ‘kitaran menaik pelaburan’ baharu,” katanya menurut Astro Awani.
Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM83.7 bilion merentasi pelbagai sektor bagi tempoh Januari hingga Mac 2024.
Ia mencatat peningkatan 13 peratus berbanding RM74.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Kata Rasheed, pelaburan semakin meningkat kerana adanya prospek jelas untuk pelaburan swasta dan awam yang dilihat terjamin, terutama melihat perubahan sektor elektrik dan elektronik, projek infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, projek berkualiti seperti ini boleh menyumbang kepada produktiviti lebih tinggi sekaligus membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.
Jumlah pelaburan yang diluluskan untuk suku pertama 2024 merangkumi 1,257 projek yang dijangka menjana 29,027 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat di negara ini.