Konsert lepas ni boleh dah bawa ustaz Pas, semua jadi halal

Seorang ustaz pro Pas menyatakan sokongan kepada Himpunan RXZ Members 6.0 di Terengganu baru-baru ini kerana dianggap dapat mengumpulkan “anak muda yang bersemangat”.

PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak itu berkata, sokongannya ditambah lagi dengan adanya program yang disifatkan “majlis ilmu” bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang digelarnya “Tuan Guru”.

“… mereka (anak muda) dapat bersama Murabbi ummah, banyak ilmu yang hadirin dapat,” katanya di media sosial merujuk pada himpunan yang ditaja syarikat vape itu.

Program yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada 13 dan 14 September lalu dilaporkan menarik lebih 60,000 peserta dari seluruh negara.

Himpunan yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selamba memakai baju yang mempromosi syarikat vape itu turut meragut tiga nyawa peserta manakala enam lagi cedera.

Pengisian himpunan penunggang motosikal itu pada sebelah malamnya begitu mengejutkan apabila rakyat dijamu dengan konsert rock.

Penganjuran konsert dengan bunyi terlalu bising itu dilihat turut bercanggah dengan pendirian UAI bulan lalu yang pernah mengkritik konsert sebagai lagha (sia-sia).

Malah, dalam ceramahnya sejurus Pas kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri lalu, UAI mengajak penyokong Pas untuk mati syahid tanpa takut dengan sesiapa pun termasuk raja.

“Parti Pas… teruskan perjuangan, tingkatkan lagi kekuatan minda dan roh kita dalam perjuangan.

“Ingat, jangan takut (kepada) makhluk. Jangan takut sesiapa saja, pemerintah, kerajaan, raja besar mana pun.

“Kita nak duduk dalam keadaan,”aku nak mati syahid sekali pun takpe tapi aku nak tegakkan Islam di bumi Allah, Malaysia ini,” seru UAI lagi.

Susulan sikap “Pas buat boleh” itu, warganet mengecam dan menyindir termasuk secara sinis menyarankan agar konsert yang diadakan selepas ini turut menampilkan Ustaz Pas supaya semuanya “halal”.

Antaranya, pengguna X, Arham Merican yang memberitahu pernah teruk dikritik penyokong dan ustaz Pas kerana berpendapat ‘refund’ perlu diberi jika konsert dibatalkan oleh kerajaan.

“… konsert atau mereka kata himpunan yang ditaja vape diharuskan dengan syarat dibuat di negeri Islam, dihadiri murabbi ummah. Baru kita tahu,” katanya.

BACA JUGA Bimbang masjid dikuasai GISBH, ustaz ini tuntut JAIS bertindak