Anak pemimpin GISBH antara lima ditahan di Bukit Kayu Hitam
Anak pemimpin GISBH merupakan antara lima orang yang telah ditahan dalam Ops Global di sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Risikan Sempadan Zon Utara berjaya mengesan dua kenderaan mempunyai lambang GISBH di lokasi terbabit kira-kira jam 6 petang semalam.
“Hasil pemerhatian terhadap kenderaan itu mendapati ia bergerak ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand.
“Tindakan pemeriksaan dibuat dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan berjaya menahan kenderaan itu serta lima lelaki.
“Kelima-lima lelaki yang ditahan termasuk anak pemimpin GISBH itu berusia antara 28 hingga 41 tahun,” katanya kepada Harian Metro.
Razarudin berkata, soal siasat awal dan proses dokumentasi terhadap kesemua suspek berkenaan sedang dijalankan.
“Tangkapan dan rampasan terbabit akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya.