Gempar Pengerusi GISBH, 18 individu termasuk isteri dan 2 anak direman
Pengerusi GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama 18 yang lain direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah tahanan reman itu sehingga 25 September selepas membenarkan permohonan pihak polis.
Kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun terdiri 12 lelaki dan tujuh wanita akan ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Nasiruddin bersama beberapa pemimpin kanan termasuk isteri dan dua anaknya ditahan polis dalam Op Global.
Tangkapan tersebut susulan laporan rumah amal kendalian syarikat yang turut terpalit dengan ajaran sesat itu yang didakwa terbabit dalam kes penderaan, pengabaian kanak-kanak serta salah laku seksual.
Dilaporkan, mereka ditahan kira-kira jam 5.40 pagi tadi selepas serbuan dibuat terhadap empat unit kondominium di Kuala Lumpur.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.
Pada 10 September lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.
Ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.
Dalam masa sama, polis telah membekukan 96 akaun milik GISBH berjumlah RM581,552.31 mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
BACA JUGA Bekas ahli GISBH dedah 5 sistem berlawanan dengan negara, nombor 3 paling mengejutkan