Masjid kena ‘hijack’ GISBH: Pendakwah tertanya apa pihak berkuasa agama buat

Pendakwah, Ustaz Syihabudin Ahmad tertanya-tanya di mana kepekaan dan tindakan pihak berkuasa agama sehingga wujud masjid di Selangor yang sudah dikuasai ahli Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Beliau mendedahkan bahawa di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes di Rawang, terdapat sekurang-kurangnya empat ahli GISBH telah dilantik mengetuai biro penting dalam pentadbiran masjid di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu.

Ustaz Syihabudin Ahmad

“Saya tertanya-tanya pihak jabatan agama memang tidak beri perhatian ke, dalam isu ini sehinggakan geng-geng GISBH sewenang-wenangnya menguasai masjid?

“Pihak JAIS kena bertindak tegas sebab ada empat orang dalam kalangan mereka berada dalam jawatankuasa masjid,” dakwanya menerusi saluran YouTube milik beliau.

Menurutnya, JAIS perlu melakukan semakan terhadap barisan kepimpinan masjid tersebut memandangkan jawatankuasa yang berjaya dalam pemilihan sebelum ini telah menarik diri ekoran isu integriti.

Pengumuman peletakan jawatan jawatan oleh Ahli Jawatan Kuasa Masjid Cahaya Iman sesi 2023 hingga 2025 telah dimuatnaik di YouTube pada 31 Disember 2022.

“Mereka meletak jawatan kerana nazir yang terpilih bukan tuan nazir pilihan mereka tetapi dipilih nazir yang lain yang tidak dipersetujui mereka.

“Selepas peletakan jawatankuasa terbabit tidak dibuat sebarang mesyuarat agung khas untuk memilih ahli jawatankuasa.

“Namun, tiba-tiba wujud ahli jawatankuasa baharu dan tiba-tiba dalam kalangan mereka ada empat orang ahli GISBH.

“Pihak nazir lantikan JAIS iaitu Fauzi kena bertanggungjawab dan beri penjelasan. Dia kena letak jawatan.

“Pihak Pejabat Agama Islam Daerah Gombak juga perlu beri kenyataan rasmi,” tegas Ustaz Syihabudin.

Pengarang buku berkenaan berpendapat pihak JAIS perlu mengambil alih masjid itu dengan kadar segera serta menyemak segala dana supaya tidak jatuh kepada mana-mana kepentingan GISBH.

“Saya tidak mahu terjadi ahli-ahli GISBH ini masuk dalam jawatankuasa, akhirnya semua barang beli dari GISB. Ini akan menjadi isu integriti yang sangat berat.

“Lucutkan jawatan semua ahli jawatan kuasa. Pecat mereka semua serta-merta. Buat pemilihan baru dan pastikan pemilihan yang bersih dan telus,” kata beliau lagi.

Semakan Harapandaily mendapati wujud dua akaun rasmi Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes di TikTok.

Akaun masjidcahayaimanofficial dengan 7,991 pengikut setakat ini dilihat kali terakhir pada 31 Ogos berkongsikan ucapan nazir masjid sempena program Sambutan Maulidur Rasul.

Sementara itu, akaun masjidcahayaimanrasmi yang mempunyai hanya 758 pengikut memuatnaik rangkuman sepanjang program Maulidur Rasul dengan penampilan ketara GISBH.

Paling menonjol ucapan penghargaan daripada Bilal II, Mohd Khairulnizam Idris terhadap GISBH yang diulang beberapa kali.

Video berdurasi 2:17 minit itu juga hadir dengan tanda pagar #ikhwan dan #gisb selain memberi kredit kepada media milik GISBH, Ikhwan News.

BACA JUGA Bekas ahli GISBH dedah 5 sistem berlawanan dengan negara, nombor 3 paling mengejutkan