Minta kerajaan draf MoU baharu, ini jawapan TPM kepada pembangkang 

Selepas menolak Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, blok itu sekali lagi meminta agar kerajaan menyediakan draf MoU baharu buat mereka.

Tampil memberi respon kepada permintaan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembangkang perlu kemukakan maklum balas terlebih dahulu kepada kerajaan tentang draf MoU yang sudah diserahkan.

Sehingga kini kata Fadillah, pihaknya belum lagi dihubungi pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berkaitan MoU itu.

“Draf MoU sedia ada adalah asas untuk kita (meneruskan) perbincangan. 

“Jika (pembangkang mahu MoU baharu) mereka perlu kemukakan maklum balas mereka… tapi sebelum ini mereka ada buat kenyataan untuk menolak, bila dah tolak kita terima (pendirian mereka),” katanya.

Sebelum ini PN telah menolak draf MoU antara kerajaan dengan pembangkang dengan alasan draf itu mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli Parlimen untuk bersuara.

Kumpulan itu melalui Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudiannya meminta kerajaan menyediakan draf baharu selain menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai MoU tersebut.