Sijil halal kekal secara sukarela, bukan wajib
Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa sijil halal untuk industry pemakanan kekal sukarela untuk dipatuhi oleh pemain industry dan bukan wajib.
“Dasar sedia ada ini kekal dan ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
“Melalui Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang diperolehi tersebut, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi lewat semalam.
Sebelum ini Menteri Agama Datuk Na’im Mokhtar mengumumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan sijil halal.
Cadangan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang berkata keputusan perlu dibuat berdasarkan permintaan pasaran.