Tak ‘update’ turun tinjau banjir, MB Kedah baru bersuara selepas lebih tiga hari bencana
Menteri Besar Kedah hanya baru sebentar tadi mengeluarkan kenyataan media selepas negeri Pas itu sudah lebih tiga hari dilanda banjir.
Semakan di Facebook dan TikTok akaun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendapati tiada kemaskini termasuk gambar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu turun meninjau kawasan dilanda banjir atau menziarahi mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) .
Kelibat Sanusi yang tidak kelihatan meredah banjir menemui mangsa bencana setakat ini turut dibangkitkan salah seorang penduduk tempatan.
“MB kita tak update turun padang pun… banjir ni..🤔 nanti agensi kerajaan lain… slow la… langkah…,” keluh Ainie Su di Facebook Sanusi yang mempunyai seramai 347,000 pengikut.
Menerusi kenyataan petang ini, Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan Negeri akan segera memberikan bantuan awal Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke PPS.
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN itu, penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit.
Jelasnya, Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,000 juga akan disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada semua KIR yang berpindah ke PPS.
Dilaporkan, air mula naik di Kubang Pasu sejak 16 September menenggelamkan Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh.
Banjir di Kedah semakin buruk dengan lebih banyak PPS terpaksa dibuka bagi menampung mangsa bencana itu yang terus meningkat.
Sehingga jam 3.05 petang tadi, sebanyak 31 PPS beroperasi dengan menempatkan seramai 3,896 mangsa daripada 1,155 keluarga di tujuh daerah di negeri itu.
Aras air di tujuh sungai di sekitar kawasan Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang pada masa ini sedang melepasi paras bahaya dengan trend menaik.
BACA JUGA Terkini: CEO GISBH, anak bekas pemimpin Al-Arqam pula ditahan