Terkini: CEO GISBH, anak bekas pemimpin Al-Arqam pula ditahan 

Beberapa pemimpin kanan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan isterinya dilapor telah ditahan polis semalam dalam operasi Op Global.

Penahanan itu ekoran laporan rumah amal kendalian GISBH yang didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.

Menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber, salah seorang anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam turut ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Selain CEO terbabit, turut ditahan isterinya serta dua anaknya bagi membantu siasatan.

“Turut difahamkan, individu lain yang ditahan adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad,” kata sumber itu seperti dilapor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tangkapan itu dan maklumat lanjut akan diumum nanti.

Difahamkan setakat ini seramai 19 orang termasuk pemimpin jemaah itu telah ditahan.

Sebelum ini gempar apabila ratusan kanak-kanak di rumah amal kendalian syarikat terbabit didakwa didera secara fizikal dan salah laku seksual.

Ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa liwat dan lebih malang, mereka akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.

Polis juga pada semalam telah menahan lima suspek yang di Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam perjalanan ke Thailand dengan menggunakan kenderaan berlogo GISBH.