Pembangkang diam ketika ringgit mengukuh, apa kata PM?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap berdiam diri pembangkang dan peranan semak dan imbang mereka terhadap kerajaan ketika ringgit mengukuh.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihak pembangkang sebelum ini secara berterusan mencaci kemampuan pihak kerajaan menguruskan ekonomi negara semasa pretasi ringgit berada dalam keadaan lemah berbanding dolar Amerika.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, beliau memandang positif keputusan Rizab Persekutuan (The Fed) Amerika Syarikat (AS) memotong 50 mata asas kadar faedah, satu tindakan yang akan memberi kelebihan kepada usaha pengukuhan ringgit.

“Itu keputusan dia (The Fed), tapi kadang-kadang keputusan itu ada kesan (kepada ekonomi negara).

“Namun, kalau setakat mereka potong (mata asas kadar faedah), itu memberikan laluan kepada penguatan ringgit yang mula berjalan, Alhamdulillah menjadi lebih baik.

“Walaupun kadang-kadang rakan (pembangkang) kita di sana tak nampak, bila nampak ringgit melemah dia hentam dan caci kita berterusan.

“Bila menguat (hanya berdiam diri)… kita kata Alhamdulillah,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Masjid Darussalam, Puchong hari ini, apabila ditanya tentang kesan tindakan The Fed itu kepada ekonomi negara.

Untuk rekod, ringgit memperoleh kelebihan yang ketara daripada pemotongan 50 mata asas (bps) kadar dana persekutuan (FFR) AS, kerana nilainya terus meningkat berbanding dolar AS.

Lapor Bernama, ringgit naik 12.67 peratus berbanding dolar AS dalam tempoh enam bulan.

BACA JUGA Penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor tidak perlu ditangguh lagi