Dr Osman Bakar dilantik Rektor UIAM

Datuk Prof Emeritus Dr Osman Bakar dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ketujuh mulai 23 September ini hingga 22
September 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan hari ini berkata, Dr Osman merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor di tanah air.

Beliau memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada tahun 2009.

“Kementerian yakin dengan pelantikan ini, Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman akan
dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti
tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus
Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM
sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Datuk Prof Emeritus Dr Osman merupakan Penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut
Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), UIAM.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Falsafah Islam dari University of Temple, Amerika Syarikat.

BACA JUGA Masih terngiang ‘pasar Ikhwan di Putrajaya’, muncul pula lagu serah hidup mati untuk Abuya