Mangsa banjir di Kedah terus bertambah ketika MB masih ada “urusan rasmi” di Jepun
Banjir di Kedah terus menyaksikan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah.
Ketika Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor difahamkan masih ada “urusan rasmi” di Jepun, seramai 8,513 mangsa melibatkan 2,728 keluarga sedang berlindung di 44 PPS.
Sehingga jam 11.05 malam ini juga, lima daerah terjejas banjir dengan Kota Setar mempunyai paling ramai mangsa iaitu 4,717 orang.
Ini diikuti Pendang dengan 1,485 mangsa, Kubang Pasu (1,381), Pokok Sena (783)manakala Bandar Baharu dengan 147 mangsa.
Berdasarkan laman sesawang Public Infobanjir pula, tiga stesen melibatkan Sungai Bata di Kampung Bata dekat Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Taman Aman masing-masing di Kota Setar mencatatkan paras bahaya.
Dalam masa sama, paras air di Sungai Laka, Sungai Padang Terap dan Sungai Kedah dekat Jambatan Lebuhraya, Kota Setar telah melebihi paras amaran.
Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah.
Beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negeri dikuasai Pas itu.
BACA JUGA Sanusi ke Jepun: Ramai cari nama syarikat tapi tak jumpa