MoU dengan pembangkang demi kestabilan demokrasi berparlimen

Oleh SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang yang hebat diperkatakan telah menjadi isu politik toksik dengan pihak pembangkang membina persepsi memburukkan imej dan peranan demokrasi berparlimen.

Pembangkang menggambarkan seolah-olah MoU ini bertujuan untuk menutup mulut mereka bersuara dan ianya membawa kepada kemandulan demokrasi berparlimen.

Hakikatnya, MoU ini, bertujuan untuk membendung perbahasan Ahli Parlimen (MP) yang menggunakan hujahan perkauman dan kebencian kaum bukan untuk membendung kebebasan bersuara MP ketika berbahas.

Sepatutnya, ia bukan menjadi isu jika mereka komited untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan sihat.

Kebebasan bersuara mestilah beradab dengan adab perbezaan pandangan yang membina bukan meruntuhkan demi menjaga nama baik institusi Parlimen.

Berlapang dada

Keikhlasan inisiatif MoU ini turut dicemari dengan pendedahan pra-matang pembangkang kepada awam sambil mengelirukan orang ramai hasrat suci MoU iaitu melahirkan kestabilan politik dengan mengekalkan hasrat konsep pembangkang yang sihat dan berwibawa.

Adalah satu kerugian kepada kebanyakan MP yang pertama kali terpilih, dipaksa menanggung beban akibat pimpinan PN yang terdiri daripada MP yang lebih senior dan kukuh kewangan membuat keputusan menolak mentah-mentah inisiatif MoU ini.

Membina suasana demokrasi berparlimen yang matang dan bertanggungjawab adalah pra-syarat utama kepada wujudnya kelak perundangan yang lebih mampan.

Dr Mujahid Yusof Rawa

Namun, tidak seperti Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang, PH menerima MoU secara berlapang dada dan berbincang dengan cara terhormat kerana PH tiada masalah ucapan kebencian terhadap kaum dan agama.

Malah, ketika itu PH sebagai pembangkang mendesak penggubalan akta anti-lompat parti dijadikan secara asas syarat penerimaan MoU semasa Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

Sikap PN dan beberapa kerat kepimpinannya yang penting diri telah menggagalkan usaha membina demokrasi berparlimen yang lebih berwibawa melalui semak imbang pembangkang yang objektif dalam membina dasar-dasar negara.

Sikap PN terhadap MoU bukan saja merugikan MP PN yang pertama kali menjadi wakil rakyat tetapi juga telah mendedahkan wajah sebenar sebahagian pimpinan PN yang terdesak isu lalu mereka menjadikan MoU ini sebagai modal murahan politik mereka.

Rakyat sedang memerhati!

*SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah Timbalan Presiden AMANAH merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak.