Ada “lubuk walaun” dalam Jabatan Agama Islam Melaka?

Khutbah Jumaat minggu lalu mencetuskan perdebatan hangat apabila slaid khutbah yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memaparkan wajah ahli politik pembangkang dalam slaid tersebut.

Khutbah Jumaat pada 20 September di masjid-masjid seluruh negeri Melaka yang dikeluarkan oleh JAIM bertajuk “Negaraku, Tanah Air Ku”, bersempena Sambutan Hari Malaysia 16 September. 

Apa yang mengejutkan, penyedia slaid tersebut meletakkan wajah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi;

“Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan, dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia”.

Dalam slaid berasingan, turut terdapat wajah bekas Yang di-Pertuan Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berbanding wajah Agong baharu, Sultan Ibrahim.

Ia menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan pengguna media sosial kerana agensi kerajaan sendiri tidak mengemaskini info pentadbiran baharu dan tidak cakna dengan larangan penyebaran agenda politik di masjid.

Jabatan itu bagaimanapun dalam satu kenyataan membuat permohonan maaf atas kekhilafan tersebut dan menjelaskan terdapat ralat dalam infografik yang disediakan pihaknya.

Jabatan itu menarik balik infografik dengan serta merta dan mengarahkan semua pengerusi masjid dan surau Jumaat untuk menurunkan, memadam, dan tidak menyebarkan infografik tersebut atau sebarang dokumen berkaitannya untuk apa-apa tujuan.

“JAIM berasa kesal atas kejadian yang berlaku dan memohon maaf di atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” kata JAIM.

Bagaimanapun, seorang aktivis politik bernama Edy Noor Reduan mempersoalkan sekiranya terdapat “lubuk walaun” dalam organisasi JAIM.

Dia berpandangan satu tindakan tegas perlu dibuat oleh JAIM kepada pegawai yang terlibat.

BACA JUGA Bini muda tak bawa pun, kata Sanusi kepada mangsa banjir selepas balik dari Jepun