Kekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan hingga PRU16, seru Chin Tong
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota menjadi penanda aras yang akan membuka jalan untuk Kerajaan Perpaduan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)
Beliau berkata, usaha perlu dimulakan lebih awal bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi pada pilihan raya yang dijangka akan diadakan pada 2027.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan perlu bertanding bersama bagi mengekalkan kestabilan negara serta mencapai lonjakan ekonomi kedua Malaysia.
“Johor merupakan medan pilihan raya yang penting. Ia mempunyai 26 kerusi Parlimen, menjadikannya negeri di Semenanjung yang paling banyak kerusi.
“Gabungan PH dan BN di Johor menguasai 24 daripada 26 kerusi ini. Ini merupakan asas kekuatan kuasa politik Persekutuan.
“Ini juga menjadikan PRK Mahkota amat penting sebagai pembuka jalan menghadapi PRU16.
“Bagi meletakkan penanda aras ini, kita perlu memastikan PH dan BN dapat mengekalkan kerjasama untuk terus sama-sama memenangi pilihan raya dan mentadbir bersama. Kerjasama demi perpaduan adalah kunci kejayaan kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.
Pada masa sama, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata, Kerajaan Perpaduan ketika ini kekal teguh dan berjaya memerintah dengan baik setelah lebih 22 bulan memerintah.
Beliau mahu melihat Kerajaan Perpaduan mentadbir bersama, menang dan kalah pilihan raya bersama, dan mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang.
BACA JUGA Dah tolak MOU jangan sibuk tuntut lagi – Pedas pembangkang kena tegur