GAIS anjur program antarabangsa babit pemimpin Islam, ulama 25 buah negara

Persatuan Sekolah Islam Global (GAIS) akan menganjurkan GAIS Malaysia Retreat 2024 pada 29 September depan, yang akan menghimpunkan pemimpin dan ulama dari 25 buah negara dalam bidang pendidikan Islam.

Bertemakan Kebangkitan Berakar Tradisi atau Revival Rooted in Tradition, program julung kali diadakan itu adalah hasil kerjasama International Centre for Educational Excellence (ICEE).

Ketua Setiausaha ICEE, Ustaz Megat Mohamed Amin berkata, retreat itu merupakan acara penting bagi komuniti pendidikan Islam, menawarkan peluang unik untuk melibatkan diri dengan pemimpin yang juga pemikir dalam bidang pendidikan Islam.

“Retreat ini akan mengumpulkan kumpulan peserta termasuk pemimpin sekolah, penyelidik akademik, ketua pengajian Islam, dan warga pendidik.

“la bertujuan untuk memupuk pertukaran idea yang dinamik dan amalan terbaik dalam pembangunan dan pengajaran pendidikan Islam, khususnya dalam institusi K-12,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hasil dari program retreat tersebut diharap dapat membangun kepimpinan strategik; meneroka integrasi Kecerdasan Buatan (AI); Pembelajaran peribadi dalam pendidikan Islam; dan peranan pendidikan dalam aktivisme.

Selain itu kata Ustaz Megat, sorotan program termasuklah sesi pleno dan bengkel mengenai isu-isu dan metodologi kontemporari dalam pendidikan Islam.

Program lain adalah lawatan sekolah serta universiti untuk mendedahkan peluang penglibatan dalam institusi pendidikan terkemuka di rantau ini, di samping peluang jaringan kerja untuk memudahkan hubungan dalam kalangan profesional dan ahli akademik dalam pendidikan Islam.

AIS International Educators Conference 2024 akan diadakan pada 28 September 2024 Sabtu di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. 

Sesi Kelab Pencinta Buku pula akan diadakan pada 29 September 2024 Ahad di IDCC Shah Alam. 

Sementara GAIS Malaysia Retreat 2024 akan diadakan dari 29 September hingga 3 Oktober 2024.