Hasut jangan mengundi, ada pihak ‘ketar lutut’ dengan undi orang Cina
Ada pihak takut dengan undi masyarakat Cina sehingga bertindak kotor menyebarkan surat layang mengugut masyarakat itu untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
Ketua AMANAH Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, beliau tidak menolak kemungkinan sebaran risalah tersebut dilakukan pihak lawan kerana kumpulan itu dikatakan memang takut dengan undi yang tidak memihak kepada mereka.
“Dalam pertandingan dua penjuru ini kita tengok siapa yang tak mahu pengundi Cina keluar mengundi?
“Jadi taktik tersebut senang diramal sebab Perikatan Nasional memang takut dengan undi masyarakat Cina yang memang tidak menyebelahi mereka dalam PRK ini,” katanya ketika ditanya tentang kemungkinan surat layang ugutan dilakukan oleh pembangkang.
Pada masa sama, Naib Pengerusi AMANAH Johor itu berkata, taktik sedemikian cenderung untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi supaya mereka tidak menjalankan tanggungjawab pada hari mengundi nanti.
“Kita maklum akan hal ini dan sebaran risalah ini berpunca dari mereka yang takutkan undi dari masyarakat Cina kerana tidak memihak kepada mereka,” katanya lagi.
Beliau menegaskan sepatutnya semua pihak perlu raikan suara pengundi dan bukan menghalang mereka lebih-lebih lagi dalam pilihan raya yang demokrasi.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN), 28 September ini.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala PN menampilkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar atau Coach Haizan, 61.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
BACA JUGA RM cecah RM4.14 terhadap USD pagi ini