Masih sayang isteri, Fattah tak sedia ceraikan Fazura
Pelakon, Fattah Amin enggan melepaskan isterinya walaupun Fazura telah memfailkan permohonan penceraian pada 13 September lalu.
Ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syarie pagi ini, Fattah mengakui masih menyayangi Nur Fazura Sharifuddin dan berharap masalah rumah tangganya bersama Fazura dapat diselesaikan cara baik.
“Saya mohon doa daripada semua yang terbaik untuk kami dan saya masih berpegang dengan kenyataan sebelum ini (menyelamatkan rumah tangga).
“Saya masih sayangkan Fazura,” katanya dan enggan menjawab soalan spekulasi melibatkan isu curang.
Sementara itu peguam syarie mewakili Fattah, Zulkifli Che Yong berkata, Fattah belum bersetuju untuk bercerai secara baik atau sebaliknya.
Ini kerana pihak terbabit dalam kes ini sedang menyelesaikan terma bagi menyelesaikan isu semasa yang berkait dengan perkahwinan dan sekiranya berlaku penceraian.
“Saya ingin nyatakan dalam mahkamah sebentar tadi, pihak defenden telah menyatakan setakat ini belum setuju atau sedia untuk bercerai dengan baik kerana pihak dalam kes ini sedang cuma memuktamadkan terma secara baik isu yang berkait semasa perkahwinan dan sekiranya berlaku penceraian.
“Jadi perkara itu adalah perlu untuk pihak menyelesaikan secara baik dan muktamadkan terlebih dahulu agar mereka selepas ini tidak perlu memanjangkan perkara yang belum selesai.
“Saya berdoa kedua pihak dapat menyelesaikan dengan baik. Dan sekiranya sedemikian, akan nyatakan pendirian pada 7 Oktober ini untuk bersetuju penceraian secara baik,” katanya.