Penamatan Khairuddin sebagai KP J-KOM: Ini penjelasan Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penamatan khidmat Dr Mohd Khairuddin Othman sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) adalah prosedur biasa.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkenaan berkata urusan penamatan itu dilakukan mengikut proses yang teratur.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya media berkenaan punca khidmat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu ditamatkan.

“Tidak (tidak boleh terangkan sebab penamatan), saya boleh sahkan beliau sudah ditamatkan perkhidmatan dan dalam isu jawatan kontrak sebenarnya mana-mana pelantikan dan penamatan ada prosesnya.

“Ia adalah perkara biasa dan ia berpandukan proses yang saya sebut tadi iaitu ia adalah teratur,” jelasnya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media mingguan, di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod, Mohd Khairuddin dilantik ke jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) bermula 1 Mac lalu.

Setiausaha PKR Selangor itu mengisi kekosongan jawatan yang sebelum itu disandang Prof Datuk Mohammad Agus Yusof.

BACA JUGA Pintu masuk di Tambak Johor dan Linkedua dibuka sepenuhnya sempena PRK DUN Mahkota