Ringgit meningkat dengan kukuh, ini penjelasan Bank Negara
Bank Negara Malaysia (BNM) menyifatkan peningkatan kukuh ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), terutamanya sejak awal Julai, susulan pergerakan kadar faedah yang lebih jelas di negara maju, terutamanya AS.
Menurut Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, perbezaan kadar faedah yang lebih mengecil dengan AS akan menyokong aliran masuk portfolio, terutamanya memandangkan prospek ekonomi Malaysia yang positif.
“Landskap domestik juga agak positif. Pembaharuan struktur kerajaan yang berterusan, rasionalisasi subsidi dan peningkatan perlindungan sosial menawarkan peluang untuk meneruskan perubahan yang bermakna.
“Selain itu, tindakan terselaras antara kerajaan dan BNM, yang telahpun membantu keseimbangan aliran (dana) yang lebih baik, akan diteruskan dan ini akan memberikan sokongan kukuh terhadap ringgit.
“Apa yang penting, pembaharuan struktur secara berterusan oleh kerajaan, ditambah dengan prospek ekonomi yang bertambah baik, akan terus mengekalkan minat global untuk melabur di Malaysia,” katanya pada Forum Asia IFN 2024, di sini, hari ini.
Beliau berkata, negara memberi fokus utama terhadap kemampanan dan menetapkan matlamat dan rancangan untuk mengoptimumkan struktur sukuk yang pelbagai bagi membiayai peralihan lancar kepada ekonomi mampan, terutamanya untuk pasaran sedang pesat membangun.
Jelasnya, dianggarkan AS$1.7 trilion diperlukan di Asia setiap tahun bagi pembangunan infrastruktur dengan jurang ketara AS$800 bilion dalam pembiayaan iklim terutamanya dalam tenaga boleh baharu.
Bagi tempoh lima tahun akan datang, lebih AS$138 bilion diperlukan untuk memenuhi sasaran sifar bersih menjelang 2050, dua kali ganda berbanding pelaburan pada masa ini.
“Hasil kerajaan sahaja tidak dapat memenuhi keperluan ini.
“Sukuk berpotensi untuk memangkin sumber pembiayaan yang lebih luas dalam bidang ini bagi sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya.
BACA JUGA 10 lagi laporan polis dari mangsa eksploitasi buruh paksa GISBH, ada kes berlaku 2013