ADUN pembangkang di Kelantan pun tak dapat peruntukan sama rata

ADUN pembangkang di Kelantan tidak pernah mendapat peruntukan penuh, malah jauh sekali mendapat peruntukan sama rata seperti didakwa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Sebaliknya Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, berdasarkan semakan dibuatnya dengan ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim, pembangkang hanya mendapat satu pertiga sahaja daripada peruntukan berbanding nilai penuh yang diterima ADUN kerajaan.

“Saya dah semak sebenarnya dengan ADUN Kota Lama dari Pakatan Harapan. Beliau mengatakan bahawa ADUN pembangkang di Kelantan tidak diberikan peruntukan untuk operasi pusat khidmat.

“Jadi dia terpaksa keluarkan belanja sendiri untuk pusat khidmat, gajikan pekerja dan sebagainya.

“Daripada peruntukan yang diberikan kepada ADUN kerajaan di Kelantan, dia hanya dapat satu pertiga sahaja. Jadi ini jauh dari sama rata” katanya dalam satu Wacana Sinar baru-baru ini yang turut menampilkan Wan Ahmad Fayhsal dalam satu pentas.

Wacana itu mengupas tentang isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang kini memasuki episod baharu selepas draf perjanjian yang dihulur kerajaan ditolak pembangkang.

Azli berkata, kerajaan Kelantan mungkin mahu mengambil gaya pentadbiran kerajaan negeri Selangor dalam isu peruntukan tetapi apa yang berbeza, Selangor melakukan lebih baik kerana ADUN PN masih mendapat peruntukan untuk pengoperasian pejabat pusat khidmat serta peruntukan pembangunan.

BACA JUGA 10 lagi laporan polis dari mangsa eksploitasi buruh paksa GISBH, ada kes berlaku 2013

Â