Masalah Bersatu ni ramai ‘balaci’ tak berilmu macam Chegu Bard
Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Bersatu, melabel parti itu terlalu banyak orang suruhan yang tidak berilmu sehingga pemimpin mereka juga terikut-ikut perangai mereka.
Puad berkata, tuduhan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bahawa UMNO diresapi fahaman komunis dan berkemungkinan akan menyebarnya di DUN Johor, amat melampau.
Beliau merujuk kepada kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa lawatan Barisan Nasional (BN) ke China sempena 50 tahun hubungan persahabatan dua negara akan menyebabkan ideologi komunis dibawa ke dalam DUN Johor.
“Bersatu buat laporan polis kononnya saya dan UMNO diresapi ajaran komunis. Ia berpunca lawatan BN ke China sempena 50 tahun hubungan persahabatan Malaysia-China.
“Inilah masalah mereka yang masuk Bersatu. Mereka lupa Bersatu itu juga sekolah politik. Mereka diindoktrin jadi “bengap” bila masuk Bersatu.
“Termasuklah bekas MB Johor Datul Sahruddin Jamal. Patutlah dia boleh jadi MB untuk 10 bulan sahaja. Dia pula buat tuduhan berat. Dia tuduh saya akan sebarkan ajaran komunis di Dewan Johor. Dengan kata lain saya sudah jadi komunis.
“Masalah Bersatu ialah mereka ramai balaci tidak berilmu. Cakap hentam keromo macam Chegu Bard. Sampai Dr Sahruddin Jamal terikut-ikut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Semalam PN membuat laporan polis kononnya bimbang kunjungan Puad bersama delegasi BM untuk lawatan sambil belajar ke China akan membawa ideologi komunis dalam DUN Johor.
Sahrudin berkata, pihaknya bimbang fahaman komunisme akan menular dan meresap dalam kalangan ahli UMNO disebabkan lawatan itu.
Sementara itu Puad dalam hantaran balasnya berkata, “para balaci Bersatu” tidak tahu yang China ada mewujudkan ribuan sekolah politik yang boleh dipelajari.
Beliau juga menafikan bahawa delegasi itu ke sana untuk mempelajari ideologi komunis.
“Para balaci Bersatu ini mungkin tidak tahu di China wujud ribuan sekolah politik. Ia di mana-mana termasuk di majlis perbandaran. Ia lengkap hotel sampai taraf 5 bintang.
“Maka kebanyakan konferen dan juga perbincangan dibuat di bilik kuliah di sekolah politik ini. Bukan kita belajar ideologi komunis. Tajuk dibincangkan ialah permodenan China, cara China melatih dan memilih pemimpin dan celik media sosial.
“Memang banyak boleh ditiru dengan pengubahsuaian. Maksud saya ialah mempelajari teknik perkaderan tapi bukan ideologinya,” jelasnya lagi.
BACA JUGA Ketua Pemuda Pas disaran menghadap bekas YDPA