Akhirnya Cik Man kena penjara 24 tahun, 2 sebatan
PU Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man akhirnya dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini.
Pendakwah selebriti itu didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun pada 2022.
Mahkamah menjatuhkan masing-masing 12 tahun penjara dan satu sebatan bagi dua pertuduhan yang berjalan berasingan.
Pemilik nama sebenar Azman Syah Alias itu diperintah menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Pada 26 Disember tahun lalu, Azman, 43, diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan pertuduhan, Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, Klang.
Perlakuan itu masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Cik Man juga berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
BACA JUGA LHDN tiba-tiba muncul ‘trending’, rupanya dikait dengan GISBH