Hanya Azmin berkempen untuk Haizan
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi mendakwa bahawa hanya Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berkempen untuk calon PN Haizan Jaafar di dalam kempen pilihan raya kecil DUN Mahkota yang memasuki hari terakhir.
Ini kerana Haizan merupakan calon pilihan Azmin, dakwa Puad lagi.
“Coach Haizan adalah calon pilihan Azmin. Tinggal satu hari sahaja lagi baki untuk kempen. Hanya Azmin nampak bersungguh sungguh. PAS jelas menjauhkan diri.
“Azmin terkial kial mencari isu. Mujur ada Chegu Bard pakar cerita palsu untuk spin isu peribadi calon dan UMNO kononnya diresapi komunis.
“Kali ini PN mati akal nak main isu ekonomi.”
Puad menambah bahawa PN hanya bertanding dengan harapan bahawa BN tidak mendapat majoriti yang lebih berbanding sewaktu pilihan raya negeri Johor.
Beliau turut membayangkan perpecahan Bersatu dengan Pas sekiranya harapan pembangkang tidak tercapai.
“Ä°ni kali pertama kempen PN tiada hala tuju. Annuar Musa jurucakap Pas memuji muji Kerajaan Johor.
“Kini PN hanya mengharap majoriti BN tidak melebihi majoriti lalu dan kalau boleh tidak melepasi angka 10,000. Paling PN takut, Mahkota jadi Tanjung Piai 2.0.
“Giliran Bersatu dan Pas pula pecah.”
PRK DUN Mahkota akan berlangsung esok. BN mempertaruhkan Syed Hussein Syed Abdullah untuk mempertahankan kerusi tersebut.