Ringgit diramal cecah RM4.00 akhir tahun ini
BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 kepada RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.55 sebelum ini.
Perkembangan itu turut memaparkan prestasi cemerlang ringgit dalam suku ketiga 2024.
Menurut BMI, dalam tempoh jangka pertengahan, ia kekal positif terhadap ringgit susulan perbezaan hasil yang mengecil dengan Amerika Syarikat (AS) selain prospek pertumbuhan yang agak berdaya tahan, sekali gus menyuntik petanda baik untuk unit tempatan berkenaan.
“Risiko terhadap unjuran kami adalah kelemahan ringgit dengan sebahagian besarnya bergantung kepada trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) dan pertumbuhan China,” katanya dalam nota komentarnya hari ini, dipetik Bernama.
BMI berkata ringgit terbukti dapat menyanggah trend penyusutan ketaranya sejak awal 2024 untuk naik 12.1 peratus pada suku ketiga 2024, sekali gus menjadikannya mata wang pasaran sedang pesat membangun dengan prestasi terbaik rantau ini.
Sejajar dengan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam suku ketiga 2024, BMI bertindak menyemak naik unjurannya pada purata RM4.35 berbanding dolar AS daripada RM4.55, sebelum ini.
Ringgit juga secara teknikalnya mencecah paras rintangan aliran pelbagai tahun pada paras RM4.20 bagi setiap dolar AS pada 23 Sept, 2024.
“Kami melihat skop ringgit untuk mencecah paras rintangan seterusnya pada RM4.00/dolar AS menjelang akhir 2024, walaupun indeks kekukuhan relatif yang dilihat terlebih jualan masih berlaku dan boleh menjurus kepada penyusutan nilai dalam tempoh singkat.
“Unjuran kami juga lebih realistik daripada Bloomberg yang mengunjurkan RM4.30,” menurut BMI.
Dalam pada itu, ia juga menjangkakan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia akan mengecil dengan lebih cenderung memihak ringgit.
BACA JUGA LHDN tiba-tiba muncul ‘trending’, rupanya dikait dengan GISBH