Rumusan Pemerhatian PRK Mahkota

OLEH: YUSRI IBRAHIM, ILHAM CENTRE

𝐋𝐚𝐭𝐚𝐫 𝐁𝐞𝐥𝐚𝐤𝐚𝐧𝐠

Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota diadakan apabila penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos 2024. Dalam PRK ini hanya dua gabungan parti masuk gelanggang iaitu PH-BN yang diwakili BN atau lebih khususnya UMNO, serta PN atau lebih khususnya BERSATU. Seramai 66,318 pengundi akan membuat keputusan memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Secara umumnya geografi Mahkota adalah bandar dan separa bandar. Manakala demografi pengundi pula 56 peratus Melayu, 34 peratus Cina, lapan peratus India dan etnik-etnik lain sebanyak dua peratus. Berpandukan faktor geografi dan demografi tersebut, cerapan menunjukkan tahap sosio-ekonomi (SES), psikografi dan tingkah laku pengundi Mahkota sangat berbeza berbanding pengundi PRK Nenggiri yang baru berlangsung bulan lepas.

Sebelum kempen bermula, BN kelihatan berpeluang cerah kerana campuran undi sedia ada BN-PH sangat jauh mengatasi jumlah undi sedia ada PN. Dalam PRU15 pada November 2022, sebanyak 70 peratus pengundi Mahkota memberi undi kepada PH-BN semasa memilih Ahli Parlimen Kluang, hanya 30 peratus memberi undi kepada BN. Dalam PRN pada Mac tahun yang sama, sebanyak 77 peratus memberi undi kepada BN-PH, manakala hanya 20 peratus memilih PN.

Namun apabila kempen bermula secara rasmi, nampaknya BN tidak memiliki laluan mudah seperti jangkaan awal. Ini kerana BN hanya dijangka menang mudah jika mendapat dokongan pengundi sedia ada PH yang begitu besar, antaranya 19,520 orang yang mengundi PH dalam PRU15 pada November 2022. Rentetan beberapa polemik mutakhir, BN agak bergelut untuk mendapat dokongan secara optimal daripada pengundi PH tersebut.

𝐊𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐦𝐩𝐢𝐥𝐚𝐧 𝐂𝐚𝐥𝐨𝐧
BN mempertaruh Ketua Pemuda UMNO Kluang iaitu Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon, manakala PN menamakan calon lebih berusia iaitu Mohamad Haizan Jaafar iaitu AJK BERSATU KLUANG yang berumur 61 tahun sebagai calon.

Berdasarkan profil dan biodata, kedua-dua calon mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing. Namun observasi di lapangan mendapati calon BN lebih terkedepan sedikit berbanding calon PN.

Secara umumnya calon BN lebih mudah menembusi kedua-dua kelompok terbesar pemilih Mahkota iaitu pengundi Melayu dan Cina. Latar belakang pendidikan, kerjaya, hieraki dalam parti dan keterlibatan dalam organisasi masyarakat memberi nilai tambah bermakna untuk beliau berinteraksi dengan kedua-dua kelompok tersebut dengan selesa. Kemahiran berbahasa Mandarin dan memahami budaya pergaulan orang Cina turut memberi kelebihan kepada beliau.

Calon PN pula banyak mempertaruh keterlibatan beliau dalam industri bola sepak untuk dikenali oleh pengundi. Beliau kelihatan selesa dan diterima baik dalam kelompok pengundi Melayu, tetapi agak bergelut untuk mendampingi pengundi Cina. Namun pengalaman beliau membuka kafeteria dalam Kem Mahkota memberi nila tambah tersendiri apabila beliau dikesan mempunyai hubungan personal yang baik dengan anggota-anggota tentera yang mengundi awal pada 24 September lalu. Jumlah pengundi awal segmen tentera yang besar iaitu mencecah 4,510 orang memberi nilai tambah signifikan kepada PN.

𝐊𝐞𝐤𝐮𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐉𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐚

Faktor kewujudan, keberadaan dan tradisi UMNO di Johor dan Kluang yang bertapak sejak lama memberi kelebihan kepada BN dalam aspek jentera dan kempen, sedikit mengatasi keupayaan PN. Ditambah dengan sokongan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan serta visibiliti pemimpin bertaraf MB dan Exco negeri serta Menteri dan Timbalan Menteri persekutuan menambahkan lagi aura kempen BN.

Walau bagaimanapun UMNO berhadapan sedikit masalah apabila berlaku ketegangan dengan Ketua Bahagian Kluang sendiri, menyebabkan beliau dan pasukannya kurang terlibat dengan kempen. Tindakan menggunakan bahagian-bahagian UMNO Johor yang lain untuk jadi bahagian angkat bagi setiap PDM sedikit sebanyak mengatasi konflik tersebut, namun masih ada kekurangan khususnya dalam aspek kelompangan kemahiran tempatan (local wisdom).

Jika PRK Sungai Bakap menyaksikan ketumbukan jentera PN yang sangat padu, situasi agak berbeza di Mahkota ini. Kekurangan jentera lokal dan ketibaan lambat jentera luar menyebabkan operasi kempen PN agak lambat panas. Antara faktornya, apabila wakil BERSATU dinamakan sebagai calon menyebabkan jentera PAS dari luar tidak cukup ghairah untuk datang membantu, datang tetapi bukan dengan kekuatan optimal. Begitu juga jentera dalaman BERSATU, dilihat pasukan Azmin Ali dan pasukan Tan Sri Muhyiddin yang 𝘢𝘭𝘭 𝘰𝘶𝘵 dengan sepenuh kekuatan.

𝐒𝐭𝐫𝐚𝐭𝐞𝐠𝐢 𝐊𝐞𝐦𝐩𝐞𝐧
Strategi kempen kedua-dua parti dan calon hampir sama, tetapi ada sedikit perbezaan. PN masih mengekalkan tradisi kempen sebelumnya iaitu ceramah umum, ceramah kelompok, 𝘸𝘢𝘭𝘬𝘢𝘣𝘰𝘶𝘵 dan rayu undi rumah ke rumah. Sedikit perbezaan apabila di Mahkota ini PN kerap mengadakan 𝘭𝘪𝘷𝘦 𝘱𝘰𝘥𝘤𝘢𝘴𝘵, seolah-olah ceramah kelompok dalam talian. Berdasarkan faktor geografi dan demografi pengundi Mahkota, strategi ini agak berkesan.

PN dilihat lebih memberatkan kempen mereka dalam segmen Melayu, dengan matlamat untuk mendapat semaksimum mungkin undi Melayu kerana itulah kekuatan dan peluang untuk menang. Walaupun cuba untuk menembusi segmen pengundi Cina khususnya melalui aktiviti 𝘸𝘢𝘭𝘬𝘢𝘣𝘰𝘶𝘵, namun kelihatan agak bergelut dalam segmen tersebut. Ketiadaan parti bernuansa bukan Melayu yang diterima mesra oleh pengundi Cina memberatkan lagi tugas PN, kehadiran GERAKAN tidak banyak memberi impak.

Bagi BN pula, mereka banyak menggunakan strategi kempen bersifat 𝘦𝘯𝘨𝘢𝘨𝘦 terus dengan kelompok pengundi sasar. Selain 𝘸𝘢𝘭𝘬𝘢𝘣𝘰𝘶𝘵 yang rutin, majoriti kempen BN bertumpu kepada program yang terus dengan pelbagai kumpulan sasar pengundi. Walaupun tidak semudah seperti mengurus Nenggiri dengan strategi yang sama disebabkan perbezaan geografi dan demografi, namun strategi ini dilihat agak berjaya apabila siri-siri pertemuan dengan pelbagai kelompok pengundi sasar tersebut berlangsung dengan hangat.

Berbanding PN, kelebihan BN adalah berjaya menembusi segmen pengundi bukan Melayu khususnya pengundi etnik Cina. Pelbagai program dengan pelbagai perkumpulan Cina berjaya diadakan, selain ziarah dan 𝘸𝘢𝘭𝘬𝘢𝘣𝘰𝘶𝘵 yang rutin. Parti DAP dan MCA berjaya membantu secara berkesan dalam segmen ini. Kemampuan calon BN berbahasa Mandarin dan dikenali ramai oleh komuniti Cina memudahkan lagi urusan kempen.

𝗗𝗲𝗳𝗶𝘀𝗶𝘁 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗻𝗱𝗶 𝗣𝘂𝘁𝗶𝗵

Menariknya kempen Mahkota ini apabila kedua-dua parti bertanding bergelut untuk mencula pengundi putih masing-masing. Jika di luar bandar atau di lingkaran Melayu parti-parti lebih mudah mencula pengundi sama ada berstatus putih, kelabu atau hitam, namun di Mahkota ini semua parti bergelut untuk mengelas kategori pengundi. Situasi ini dipengaruhi oleh faktor geografi bandar, demografi bercampur etnik dan gaya hidup disebabkan status sosio-ekonomi penduduk.

Akibatnya kedua-dua parti hanya mampu menyenaraikan pengundi putih mereka dalam jumlah yang secara relatifnya kecil berbanding jumlah keseluruhan pengundi. Situasi ini banyak mempengaruhi corak kempen apabila majoriti pengundi dirawat dengan mesej hampir sama, tidak terfokus mengikut profil pengundi sasar. Perkembangan ini juga secara tidak langsung menunjukkan gelanggang Mahkota ini adalah terbuka, siapa sahaja mempunyai peluang untuk keluar sebagai pemenang jika mampu merawat sokongan dan memujuk pengundi.

𝗨𝗻𝗱𝗶 𝗔𝘄𝗮𝗹

Dalam siri-siri pilihan raya sedikit waktu dahulu, kelebihan undi awal biasanya dimiliki oleh parti yang memerintah kerajaan semasa (government of the day). Ini kerana pegawai dan anggota pasukan keselamatan serta pasangan masing-masing biasanya lebih cenderung untuk menyokong kerajaan sekaligus memberi undi kepada parti yang menguasai kerajaan.

Namun situasi berubah mutakhir ini, paling ketara dalam PRU15 dan PRN 2023 apabila undi awal turut memihak kepada parti pembangkang. Bagi Mahkota ini, BN dilihat lebih berpeluang untuk mendapat undi awal daripada segmen Polis yang berjumlah 401 orang. Namun undi daripada segmen Tentera yang berjumlah 4,510 adalah berbelah bahagi, tidak terpusat kepada mana-mana parti.

Walaupun sebagai parti kerajaan, BN tidak memiliki kelebihan dalam segmen tentera ini.

Bahkan dari sudut lain PN turut mempunyai kelebihan apabila calon mereka dilaporkan pernah membuka kafeteria dalam Kem Mahkota, sekaligus mempunyai hubungan personal dengan ramai pegawai dan anggota yang terlibat. Dalam pertembungan yang sengit, jumlah undi awal yang besar iaitu hampir mencecah lima ribu pengundi ini turut berupaya jadi faktor penentu siapa akan jadi pemenang.

𝗦𝗶𝗸𝗮𝗽 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗻𝗱𝗶

Secara keseluruhan sikap pengundi Melayu tidak jauh beza berbanding sikap mereka dalam PRU15 November 2022. Sedikit perbezaan adalah amarah ahli dan penyokong UMNO terhadap parti dan kepimpinan mereka sedikit mereda. Namun kritikal terhadap kebersamaan UMNO dengan PH dan DAP masih wujud meskipum tidak selantang sebelumnya. Begitu juga isu-isu skeptikal terhadap kerajaan terkait kesucian Agama Islam dan hak keistimewaan Orang Melayu masih jadi bualan ramai. Kecenderungan pengundi Melayu secara umumnya adalah berbelah bahagi dengan jangkaan sedikit kelebihan kepada PN.

Di Nenggiri BN mendapat reaksi yang ghairah daripada segmen orang muda dan wanita sepanjang kempen berlangsung. Namun berbeza di Mahkota ini, maklum balas pengundi muda dan wanita dalam segmen Melayu terhadap BN tidak sehangat seperti yang dikecapi semasa PRK Nenggiri. Keberkesanan kempen saat akhir oleh kedua-dua parti serta kadar keluar mengundi dua segmen ini bakal mempengaruhi secara signifikan keputusan esok kerana jumlah pengundi kedua-dua segmen ini cukup besar.

Majoriti pengundi etnik Cina adalah pengundi PH dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, sehingga kini pun mereka masih penyokong kuat PH. Secara umum mereka tiada masalah dengan kerjasama antara PH dan UMNO, hanya segelintir yang memberi reaksi berbeza. Pengundi etnik Cina juga memberi maklum balas mesra terhadap calon BN, kemampuan Syed Hussien berkomunikasi dalam bahasa Mandarin memudahkan lagi penerimaan mereka.

Isu utama pengundi Cina adalah mereka tidak ghairah untuk keluar mengundi esok. Faktornya kerana PRK Mahkota ini tidak memberi sebarang implikasi perubahan kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan. Dalam masa sama pengundi Cina menunjukkan reaksi tidak selesa berkaitan serangan Ketua Pemuda UMNO YB Dr. Akmal Saleh terhadap YB Teresa Kok berkaitan isu sijil halal.

Walaupun DAP berusaha gigih memujuk mereka keluar, namun maklum balas mereka secara umumnya masih dingin. Meskipun tidak ghairah untuk keluar memenangkan BN, sehingga penghujung kempen tiada signal yang menunjukkan pengundi Cina akan berayun menukar sokongan kepada PN.

Sikap pengundi etnik India juga berbelah bagi, tidak solid terhadap mana-mana parti yang bertanding. Walaupun sebagai parti pemerintah, BN tidak mendapat sokongan tuntas daripada etnik India. Pelbagai isu diutarakan oleh pengundi India seperti rasa terabai oleh kerajaan, tiada perwakilan yang kuat dalam kerajaan yang menyebabkan suara mereka terbatas, serta isu-isu peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang umum.

𝗥𝘂𝗺𝘂𝘀𝗮𝗻
BN yang pada awalnya dijangka menang Mahkota dengan mudah berdasarkan rekod awal di atas kertas, akhirnya berhadapan dengan ketidaktentuan di pertengahan kempen. Faktor utama apabila tidak mendapat jaminan undi selamat daripada segmen pengundi PH sedia ada, khususnya pengundi etnik Cina yang kurang berminat untuk keluar membuang undi. Dalam masa sama BN masih bergelut dalam segmen teras UMNO sendiri iaitu undi orang Melayu.

Keputusan PRK Mahkota esok akan banyak dipengaruhi oleh kadar keluar mengundi (turn out) mengikut etnik. Walaupun mengalami ketidaktentuan, BN masih pilihan untuk keluar sebagai pemenang, dengan syarat BN perlu mendapat sekurang-kurangnya 40 peratus undi daripada pemilih Melayu yang keluar, dalam masa sama kadar keluar pengundi Cina tidak kurang daripada 35 peratus.

Jika angka-angka ini tidak digapai oleh BN, PN yang pada awalnya turun sebagai 𝘶𝘯𝘥e𝘳𝘥𝘰𝘨 berpeluang untuk membuat kejutan merampas mimpi indah BN dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan mereka dalam segmen Melayu. Namun jika BN berjaya menggapai angka-angka tersebut lebih besar berbanding angka ambang yang dinyatakan, mereka berpotensi menang dengan majoriti lebih besar.