Sektor swasta, sivil digesa bersama atasi masalah keciciran pelajar
Semua pihak, baik sektor swasta dan masyarakat sivil perlu bekerjasama dalam menangani masalah keciciran pelajar yang makin meruncing pasca Covid-19, gesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Program Anak Kita adalah usaha tambahan yang dimulakan sebagai tindak balas kepada bilangan pelajar yang keciciran.
“Anak-anak kita tidak boleh ketinggalan dan mesti menerima kerjasama dan bantuan yang diperlukan untuk meningkatkan keupayaan mereka, memberikan mereka peluang kedua dan peluang baharu.
“Walaupun isu keciciran bukan perkara baharu, ia menjadi lebih kompleks dan mencabar berikutan pandemik COVID-19,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.
Beliau berkata demikian melalui rakaman video ucapan dalam majlis peluncuran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Program Anak Kita memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu:
Pertama, menguasai membaca, menulis dan mengira (3M);
Kedua, menangani keciciran pelajar daripada sistem pendidikan, terutamanya mereka yang terjejas kerana kemiskinan;
Ketiga, meningkatkan peratusan calon yang layak untuk Sijil Pelajaran Malaysia dengan memastikan mereka lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
Inisiatif tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Yayasan Hasanah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk Program Anak Kita.