‘Kemenangan di Mahkota isyarat sokongan rakyat kepada kerajaan negeri pimpinan BN’
Ketua bahagian Umno Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah di dalam PRK Mahkota sebagai isyarat sokongan rakyat kepada kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui oleh BN.
“Kejayaan ini juga menjadi isyarat bahawa rakyat menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Johor di bawah Barisan Nasional, yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Rakyat amat menghargai usaha dan sinergi Kerajaan Perpaduan yang dipimpin dengan penuh kebijaksanaan dan dedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan semua lapisan masyarakat.”
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ekoran kejayaan Syed Hussien mempertahankan Mahkota dengan majoriti melebihi 20,000 undi.
“Kemenangan ini adalah bukti nyata bahawa rakyat Mahkota mahukan kesinambungan kepimpinan yang telah dimulakan oleh Allahyarhamah penyandang terdahulu, Sharifah Azizah Syed Zain.
“Ia juga merupakan menunjukkan bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk terus memimpin dan meneruskan segala usaha baik yang telah dirancang sebelum ini.”
Naratif kesederhanaan PH-BN
Dalam perkembangan berkaitan naib pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menyatakan bahawa kemenangan BN di Mahkota adalah kerjasama lebih erat di antara jentera BN dan PH.
“Apa yang lebih penting, kerjasama jentera PH dan BN amat teratur. Di peringkat DAP, kami memobilisasi tahap maksimum untuk memastikan setiap undi tidak tertinggal dari mesej untuk mengundi calon Perpaduan dari BN.
“Jentera DAP khususnya selepas mendapat arahan yang jelas dari Setiausaha Agung Anthony Loke, telah berkerja tanpa henti. Jentera DAP di lapangan telah berkerja dari awal pagi sehingga lewat malam.”
Selain itu, naratif kesederhanaan dan kestabilan ekonomi telah diterima rakyat Mahkota.
“Dari satu sisi lain, naratif kempen yang bersifat sederhana dan tidak ekstrim boleh diterima oleh pengundi. Meskipun kami turut ada berhadapan dengan kepayahan untuk meyakinkan pengundi agar tidak termakan dengan serangan kempen bersifat ekstrim yang memainkan isu agama dan perkauman sempit, kami tidak putus asa.
“Pengundi boleh menerima naratif kestabilan dan pembangunan ekonomi yang sedang giat diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan peringkat pusat dan juga agenda pembangunan oleh kerajaan Johor
“Bagi saya apa yang lebih penting, Mahkota akan menjadi testimoni ramuan kempen dan pendekatan politik moderat untuk siri-siri pilihan raya akan datang.
“Dengan menganggap demografi pengundi Mahkota yang saya umpamakan sebagai ‘mini Malaysia’, formula kemenangan disini perlu diketengahkan bagi memastikan kelangsungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.”
Isyarat keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan Perpaduan
Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu pula menyifatkan kemenangan ini sebagai isyarat keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan Perpaduan.
“Kemenangan besar ini adalah satu isyarat jelas bahawa rakyat terutama pengundi Johor telah mula menyakini kemampuan pentadbiran kerajaan Perpaduan.
“Kestabilan politik, dasar ekonomi yang tepat dan kesungguhan pentadbiran kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan isu-isu ekonomi menjadi sandaran keyakinan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Hasil penyatuan kerjasama BN, PH untuk DAP
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook pula melihat kejayaan Syed Hussien sebagai hasil penyatuan kerjasama BN dan PH.
“Kemenangan ini membuktikan fornula kerjasama di antara BN dan PH di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan mampu menyatukan sokongan dan kekuatan masing-masing demi mencapai kejayaan dalam medan pilihanraya khususnya di kawasan campuran seperti Mahkota.”
Beliau turut mengambil maklum berkenaan peratusan keluar mengundi rendah di kalangan pengundi bukan Melayu.
“Meskipun dengan kemenangan besar ini dan sokongan yang kuat daripada semua kaum terhadap calon Perpaduan, DAP mengambil perhatian yang serius dengan peratusan mengundi yang rendah dari kalangan pengundi bukan Melayu.”