Malaysia kembali terpilih ke dalam ASOSAI
Malaysia kembali semula sebagai Ahli Governing Board Asian Organization of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) bagi penggal 2024 hingga 2027 setelah dipilih semasa Perhimpunan ASOSAI ke-16 yang diadakan di New Delhi, India semalam
“Malaysia berjaya memperoleh satu daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan dalam Governing Board ASOSAI. Dengan 34 undi, Malaysia menerima undian tertinggi daripada 48 Ahli ASOSAI,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Wisma Putra berkata, sebagai anggota pengasas ASOSAI, Malaysia terus komited untuk meningkatkan kualiti dan impak dalam bidang pengauditan sektor awam di peringkat serantau dan global.
Malaysia diwakili oleh Jabatan Audit Negara dalam ASOSAI.
Negara lain yang dipilih sebagai Ahli Governing Board ASOSAI bagi penggal yang sama adalah Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Azerbaijan, Kazakhstan, Pakistan dan Filipina.
ASOSAI bertujuan untuk menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara negara anggota dalam bidang pengauditan sektor awam.