PN berkempen pada hari mengundi, dakwa pemimpin DAP

Naib pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali mendedahkan bahawa PN yang bertanding di dalam PRK Mahkota hari ini masih berkempen menerusi panggilan telefon meskipun tempoh kempen telah tamat.

Berikut adalah catatan beliau:

Pada pukul 8.33 pagi ini, saya telah menerima satu panggilan telefon dari individu tidak dikenali. Pemanggil merupakan seorang wanita.

Dalam panggilan telefon berdurasi selama 2 minit 36 saat itu, pemanggil telah memujuk saya untuk keluar mengundi dan mengundi Perikatan Nasional (PN).

Apa yang saya kesalkan, pemanggil ini membuat panggilan seterusnya berkempen untuk mengundi PN meskipun sudah tamat tempoh berkempen jam 12 malam tadi. Ini melanggar peraturan pilihan raya.

Pemanggil telah menggunakan naratif perkauman jahat dengan menyatakan bahawa BN sebagai ‘DAP CINA’. Saya sempat bertanya tentang parti Gerakan yang ada dalam PN. Pemanggil menyatakan bahawa “walau ada Gerakan dalam PN tapi kita di atas” dan bertanya saya “walau Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tetapi Anwar lebih kepada siapa?”

Kemudian pemanggil mengelak dari saya melanjutkan persoalan dan memberi alasan “saya banyak lagi nak telefon ni” lalu mengakhiri perbualan.

Selepas petugas PHBN membuat semakan menerusi aplikasi Truecaller, kami mendapati nama pemanggil ialah Nik Afaedah Nik Muhammad. Setelah semakan lanjut dibuat lagi, beliau merupakan petugas PN yang berpengkalan di negeri Pahang.

Walau bagaimanapun, saya hanya sempat membuat rakaman terhadap panggilan itu pada 1 minit 9 saat yang terakhir.

DUN Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan lawan di antara Haizan Jaafar dari PN (Bersatu) dan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dari Umno.