Formula Perpaduan perlu diteruskan sampai PRU16
Kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota memberi isyarat bahawa formula perpaduan diterima oleh rakyat dan perlu digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu membuktikan rakyat kekal tidak terpengaruh dengan politik sempit pembangkang meskipun pelbagai isu dan sentimen telah dimainkan oleh mereka.
Beliau juga memuji kesepaduan yang terjalin antara parti-parti di dalam gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).
“Pujian harus diberikan kepada jentera PH yang saya lihat mereka bersungguh-sungguh bekerja bersama dengan BN untuk memenangkan calon dari UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Saifuddin, kejayaan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah membuktikan penerimaan rakyat terhadap gabungan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kemenangan bergaya itu turut membuktikan rakyat menolak politik sempit, perkauman dan agama yang dibawa pembangkang untuk mencetuskan kegusaran rakyat.
“Tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kejayaan luar biasa ini dan kepada Syed Hussein selamat berkhidmat, jalankan amanah dengan penuh tanggungjawab,” katanya lagi.