Penceramah tanpa tauliah akan diambil tindakan, Jawi beri amaran kepada siapa?

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengajar atau memberikan syarahan agama Islam tanpa mendapat tauliah mengajar agama Islam.

Jabatan itu berkata, pihak berkuasa agama tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang dan peraturan yang telah ditentukan.

Amaran itu dibuat susulan gesaan dari orang ramai untuk segera menyekat satu penganjuran majlis keagamaan tanpa tauliah yang didakwa akan diadakan di sekitar Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

“Kami ingin mengingatkan semua pihak agar membuat permohonan dan mendapatkan Tuliah Mengajar Agama Islam dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bagi sebarang kegiatan pengajaran agama di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Ketetapan tersebut bertujuan menjaga maslahah umat Islam dari sebarang unsur kekeliruan dan meragukan dalam beragama,” katanya dalam satu kenyataan di X.

Sementara itu Jawi berkata, Pasukan Bahagian Penguatkuasaan telah melaksanakan siasatan bagi tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 11, kesalahan Mengajar agama tanpa tauliah, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559].

Apabila disabitkan bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

BACA JUGA PRK Mahkota: Fakta menarik dan pedih untuk PN