ADUN Pelabuhan Klang naik angin dengan JKR, setahun jalan berlubang tak dibaiki

ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas hampir setahun didakwa tidak menyelesaikan masalah jalan berlubang dari Jambatan Selat menghala Bandar Suleiman.

Beliau memanggil Ketua Pengarah JKR baharu, Datuk Ir. Roslan Ismail untuk turun padang melihat sendiri kegagalan jabatan itu menyelesaikan masalah yang sudah menyusahkan rakyat.

Dalam satu video dimuat naik di TikTok, Azmizam memberi kata dua jika JKR tidak membaiki jalan berlubang dalam tempoh seminggu, pihaknya akan mengadakan protes terhadap jabatan tersebut.

“Kepada Ketua Pengarah JKR, Datuk tengoklah ini. Sekarang kita berada di selekoh menghala ke Bandar Suleiman dari Jambatan Selat. 

“Jalan ini tiap-tiap hari saya dapat aduan tinggi daripada pengguna jalan raya. Malah minggu lepas, dah ada kemalangan berlaku.

“Datuk bila nak selesaikan masalah ni? Menteri dah turun pada November 2023. Janji nak selesaikan masalah ni, dah hampir setahun tak selesai masalah jalan selekoh ni. Hampir 45,000 penduduk yang hari-hari guna jalan ni,” katanya.

Beliau juga mengundang pihak JKR untuk datang sendiri pada hari bekerja untuk melihat situasi kesesakan disebabkan jalan berlubang.

“Datuk turunlah sendiri tengok keadaan jalan yang rosak dan berlubang ini. Hari ini, hari cuti (Ahad) pukul 5.40 petang. Inilah masa (yang sesuai) untuk memperbaiki jalan yang rosak kerana esok hari bekerja.

“Siapa kontraktor yang dilantik, di mana pegawai-pegawai?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan ke-11 utama di dunia wajar mempunyai infrastruktur seperti jalan raya terbaik bukannya seperti keadaan sedia ada.

“Sebaliknya, apa yang berlaku kerosakan jalan tersebut menyebabkan berlaku kesesakan pada waktu puncak setiap hari sejak setahun lalu,” katanya lagi.

BACA JUGA Grafik ucapan selamat datang ke UM dipuji kreatif