GISB Travel, Al Haramain antara 81 syarikat didakwa terlibat kartel harga umrah

GISB Travel & Tours Sdn. Bhd didakwa antara 81 perusahaan yang dikesan terlibat dalam kegiatan kartel menentukan harga penyediaan perkhidmatan umrah.

Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus berkata, kesemua perusahaan itu telah dicadang untuk dikenakan penalti kewangan kerana terlibat dengan perjanjian penetapan harga bagi perkhidmatan umrah bermula awal 2023.

Katanya, perlakuan kartel 81 perusahaan terbabit boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

“Melalui penyiasatan pada peringkat keputusan cadangan ini, MyCC mendapati bahawa kesemua perusahaan ini yang merupakan ahli persatuan yang berdaftar di Malaysia, telah bersetuju untuk menetapkan harga lantai bagi kedua-dua perkhidmatan pakej umrah ekonomi dan premium dalam beberapa mesyuarat mereka pada awal 2023.

“MyCC juga mendapati bahawa persatuan terbabit membuat pengumuman kepada pihak media untuk memaklumkan kepada orang awam tentang harga lantai yang telah dipersetujui oleh mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, syarikat Al Haramain Global Tours & Services Sdn. Bhd. dan Al Haramain Travel & Tours Sdn. Bhd. turut tersenarai sebagai syarikat disyaki terlibat dalam kartel harga umrah.

Dalam pada itu, Mohd. Hishamudin berkata, tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan melanggar Akta 712 kerana pada peringkat itu, keputusan cadangan dikeluarkan MyCC adalah dapatan awal.

Katanya, kesemua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadang MyCC.

“Perusahaan ini diberi peluang mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.

“Selepas itu, perusahaan-perusahaan yang sama turut diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan,” katanya.

BACA JUGA 5 ikhtiar Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan