Kes GISBH: 80 kertas siasatan dibuka libat empat akta ini
Sebanyak 80 kertas siasatan ke atas GISB Holdings (GISBH) telah dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan empat akta setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia membabitkan Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kertas siasatan mengambil tempoh lama untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Sama ada terdapat pendakwaan atau tidak, perkara itu akan ditentukan oleh pihak Peguam Negara.
“Polis mengambil tempoh lama bagi melakukan intipan ke atas GISBH sehingga kepada tindakan dan tangkapan yang menumpukan kepada aspek eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak,” ujarnya.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media sempena perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.
Jelasnya, operasi diadakan itu bukan hanya membabitkan polis sebaliknya membabitkan agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pendaftar Pertubuhan, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Turut terbabit Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Kimia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Agama Islam negeri.
“Seramai 1,226 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan dan agensi terbabit dalam operasi GISBH ini,” tambah Saifuddin lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Op Global bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama yang dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISB) kini memasuki fasa empat.
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, lebih 300 orang termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan, 572 mangsa diselamatkan serta lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan.
Sementara itu, Perlis muncul sebagai negeri pertama yang mengisytiharkan GISB Holdings Sdn Bhd sebagai satu kumpulan ajaran sesat.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd didapati mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah yang juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fatwa berkenaan dikeluarkan setelah mendapati kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd mengkultuskan pemimpin atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan.
BACA JUGA 5 ikhtiar Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan