KKM umum Akta kawalan produk merokok berkuatkusa esok, ini perinciannya

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan penguatkuasaan Akta 852 iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan berkuatkuasa serta merta esok.

Memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa, KKM berkata akta yang telah diwartakan pada Februari lalu itu akan berkuat kuasa serentak dengan Peraturan-Peraturan serta Perintah di bawahnya bermula 1 Oktober.

Menurut kementerian itu, penguatkuasaan Akta 852 melibatkan beberapa aspek yang akan dikuatkuasakan secara serta merta dan juga secara berfasa. 

Aspek-aspek yang akan dikuatkuasakan serta-merta termasuklah;

I Peruntukan yang melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja bagi mengekang kebolehdapatan produk tersebut.

II. Peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok.

III. Tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian, dan mesin layan diri.

Sementara itu bagi penguatkuasaan pendidikan pula, ia akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam sehingga 12 bulan daripada tarikh kuatkuasa bagi aspek-aspek berikut

(i) Pendaftaran produk merokok, yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

(ii) Pembungkusan dan pelabelan, yang akan dikuatkuasakan mengikut produk (product-by-product), selewat-lewatnya 1 Oktober 2025.

(iii) Kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan, yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 boleh dibuat di talian 03-8892 4552 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949 pada Isnin hingga Jumaat, jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang bermula 30 September 2024.