Peruntukan JPM dikurangkan dalam Belanjawan 2025 seiring penjimatan
Peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri dijangka dikurangkan dalam Belanjawan 2025, seiring dengan langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau telah membentangkan senarai keutamaan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan berharap cadangan-cadangan tersebut dapat diterima serta dilaksanakan.
Pun begitu beliau memberi jaminan program pembangunan sosioekonomi tidak akan dikompromi.
“Saya diberitahu akan dikurangkan bajet untuk memberikan penjimatan kepada perbelanjaan keseluruhannya. Tapi apa pun, kita telah memberikan senarai keutamaan kita.
“Setakat yang kita bentangkan kepada MOF, mereka menerima baik cadangan-cadangan kita dan harapnya pada Oktober ini kita dapat bajet yang kita rasa boleh kita laksanakan apa-apa sahaja program yang kita rancangkan untuk tahun 2025,” katanya pada hari penutup Festival Kesenian Borneo di Financial Park Convention Hall.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai peluang pelaburan, Dr Zaliha berkata, pelbagai aspek perlu dititikberatkan antaranya, utiliti, bekalan air dan elektrik.
“Unjuran kita, pada tahun 2027/2028, perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan asas ini akan selesai.
“Pada ketika itu, kita boleh menerima sepenuhnya pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur di Labuan ini,” katanya.
BACA JUGA 5 ikhtiar Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan
Â