Mangsa banjir di Kedah meningkat lagi, Perak banjir semula

Baling menjadi daerah baharu yang terjejas akibat banjir di Kedah, menurut laporan Info Bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Setakat 8 pagi ini, seramai 134 orang daripada 62 keluarga di Baling ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di SK Tanjung Pari, SK Siong, SK Malau, dan SK Seri Bayu.

Jumlah mangsa di negeri itu kini meningkat kepada 1,373 orang daripada 457 keluarga setakat jam 6 pagi ini, berbanding 1,332 orang daripada 426 keluarga malam tadi, lapor Bernama.

Sementara itu, Pokok Sena masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, dengan 697 orang daripada 221 keluarga yang kini berlindung di lima PPS iaitu di Surau Desa KEDA Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, SK Bukit Hijau Mukim Derang, dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan satu PPS dibuka di Dewan Serbaguna Dato Azman Mahalan, yang menempatkan sembilan mangsa daripada empat keluarga di Kampar pada pukul 11 malam tadi, akibat banjir.

JPS memaklumkan Sungai Perak di Kuala Kenderong, daerah Hulu Perak, berada pada tahap bahaya dengan bacaan paras air setinggi 113.79m.